Tetra Pak dan KPT Recycle Projek “Sort & Drop – Recycle the Cartons”

Mempermudahkan Pengasingan Kotak Minuman Terpakai di Pusat Beli-Belah

Perak, 19 April 2025Tetra Pak, penyedia penyelesaian pembungkusan dan pemprosesan makanan terkemuka, hari ini melancarkan Projek Sort & Drop – Recycle the Cartons khusus untuk pusat beli-belah, satu langkah penting ke arah memperkukuhkan amalan runcit yang lebih lestari di Malaysia. Usaha sama awam-swasta ini adalah hasil kerjasama antara Tetra Pak, KPT Recycle dan pengendali pusat beli-belah terpilih, dengan sokongan daripada Majlis Bandaraya Ipoh selaku pihak berkuasa tempatan, program ini akan menggalakkan pengasingkan dan kitar semula kotak minuman terpakai (UBC) terus dari premis mereka, seterusnya mengurangkan sisa pembungkusan dari sumber. Program ini juga menyokong matlamat yang digariskan dalam Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal (2025–2030).

Menurut Tetra Pak, premis makanan dan minuman (F&B) secara purata mengguna sekitar 20 hingga 30 kotak minuman setiap hari. Dengan lebih 1,000 pusat beli-belah di seluruh Malaysia, program ini berpotensi mengumpul lebih 6,000 tan UBC setiap tahun, secara langsung mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.

Sebagai inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia, ia menyediakan sistem pengumpulan UBC yang lancar dan sistematik di pusat beli-belah. Semua bahan berkenaan yang dikumpul akan dihantar ke fasiliti yang diiktiraf untuk dikitar semula sepenuhnya: serat kertas ditukar menjadi gulungan kertas kitar semula, manakala bahagian poliAluminium menjadi papan dan kepingan bumbung mesra alam – semuanya diperakui di bawah piawaian SIRIM Eco-Label dan MyHIJAU.

Untuk melaksanakan program ini, satu mekanisme Pengumpulan Digital IoT yang merangkumi Kiosk Pengumpulan Digital UBC telah dibangunkan bagi memudahkan pengumpulan UBC yang boleh dijejaki secara digital melalui Aplikasi RE Connect oleh KPT Recycle. Kiosk ini membolehkan penyewa premis untuk menghantar UBC untuk dikitar semula dengan mudah, dengan ciri jejakan masa nyata membolehkan data dikumpul untuk pemantauan, pelaporan dan peluasan program pada masa hadapan. Selain itu, modul kesedaran akan diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pihak pengurusan dan kakitangan pusat beli-belah, sekali gus menggalakkan penyertaan dan amalan kelestarian.

Terrynz Tan, Pengarah Kelestarian, Tetra Pak ASEAN,  berkata,  Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk membawa perubahan nyata dalam pengurusan sisa di ruang komersial, Dengan menyediakan kemudahan yang mudah diakses dan bekerjasama rapat dengan pemilik F&B, kami ingin memupuk amalan kitar semula yang lebih meluas serta mengurangkan lambakan sisa ke tapak pelupusan. Usaha bersama seperti ini penting untuk membina masa depan yang lebih lestari dan menyokong pertumbuhan ekonomi kitaran di Malaysia.”

Dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, inisiatif ini dimulakan di AEON Mall Station 18 di Ipoh dan akan diperluaskan ke seluruh negara. Dengan rakan strategik kami, kami berbangga dapat menyokong usaha yang memberi impak positif kepada amalan perniagaan yang lebih mesra alam. Melalui pengasingan dan kitar semula karton minuman terpakai (UBC), kita bukan sahaja mengurangkan sisa di tapak pelupusan, malah memupuk budaya pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan peniaga dan masyarakat. Kerjasama seperti ini selaras dengan misi Majlis Bandaraya Ipoh dalam memperkasakan Pengurusan Bandar Secara Inklusif Ke Arah Bandar Raya Pintar, Rendah Karbon Menjelang 2030.”

Kerjasama antara Tetra Pak, KPT Recycle, AEON dan Majlis Bandaraya Ipoh jelas menunjukkan keperluan pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak dalam memperkukuh usaha kitar semula di negara ini. Menerusi program ini, Tetra Pak ingin memperkenalkan satu model yang mudah, praktikal dan berkesan untuk diguna pakai oleh pusat beli-belah lain di seluruh Malaysia. Syarikat ini juga menyeru lebih banyak pusat beli-belah menyertai inisiatif ini, bagi mencipta impak positif yang lebih besar terhadap alam sekitar, serta menetapkan penanda aras baharu dalam pengurusan sisa yang lebih lestari dalam sektor runcit.

Program ini juga memperkukuhkan lagi usaha kelestarian sedia ada oleh Tetra Pak di Malaysia, khususnya Projek CAREton di Ipoh, yang melibatkan komuniti setempat dan pelajar sekolah dalam membina ekosistem pengumpulan dan kitar semula karton minuman yang mampan. Sejak dimulakan pada September 2023, projek ini telah berjaya mengumpul sekitar 260kg UBC.

Media contacts

Tetra Pak PR Contact:
Shu En Liew
Tetra Pak
Tel: +60 3 7724 7056
shuen.liew@tetrapak.com  

FINN Partners for Tetra Pak:
Karen Pasqual
Tel: +6012- 245 3165
karen.pasqual@finnpartners.com